Sunday 27 October 2013

Punca-punca Keracunan Makanan


                                         




Belakangan ini, kita seringkali dikejutkan dengan kejadian keracunan makanan. Keracunan makanan merupakan penyakit yang berlaku apabila kita termakan makanan yang tercemar dengan bakteria atau bahan kimia. Jika kita tidak dapat menangani masalah ini dengan baik, penyakit ini boleh mengakibatkan maut. Secara sedar atau tidak, ramai di antara kita telah mengalami keracunan makanan sekurang-kurangnya sekali setahun. Dari segi perundangan, negara kita mempunyai Akta Makanan 1983. Akta ini adalah bertujuan untuk melindungai orang ramai daripada terkena penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan. Walaupun begitu, kejadian keracunan makanan tetap juga sering berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

Keracunan makanan boleh berlaku daripada pelbagai punca. Berikut adalah punca-punca keracunan makanan iaitu bakteria, mikro-organisma, virus, racun atau toksin protozoa dan bahan-bahan kimia. 

1. Keracunan dari bakteria.
Campylobacterosis adalah disebabkan oleh bakteria. Campylobacter jenis ini adalah terdapat dalam ayam mentah, daging dan susu tidak pasteur. Tanda-tanda keracunan bermula antara 2-5 hari selepas makan. Selain daripada tanda-tanda umum, pesakit juga akan mengalami demam dan najis akan mengandungi darah.

2. Keracunan dari toksin. 
Penyakit ini berlaku adalah kerana penyediaan air yang tidak bersih. Tanda-tanda umum yang akan dialami oleh pesakit adalah 1-8 jam selepas makan. Keracunan jenis ini tidak melebihi 24 jam. Kebiasaannya, pesakit juga akan mengalami cirit-birit dan jarang berlaku yang menyebabkan maut. 

3. Keracunan dari virus.
Hepatitis A adalah disebabkan oleh virus yang terdapat dalam kerang dan siput-siput yang ditangkap di dalam air yang dicemari oleh air kumbahan dan sayur-sayuran mentah yang tidak dibersihkan dengan sempurna. Tanda-tanda keracunan ini adalah bermula dari 2-6 minggu selepas makan. Pesakit akan mengalami demam, lemah badan dan tidak berselera. Bagi sesetengah kes yang parah, akan berlaku kerosakan hati dan akan membawa maut. Selain itu, Norwalkvirus adalah disebabkan oleh  virus Norwalk yang terdapat dalam kerang dan siput-siput yang ditangkap di kawasan yang dicemari najis manusia. 

4. Keracunan dari protozoa.
Giardiasis disebabkan oleh proptozoa Giardia yang terdapat dalam saluran usus dan najis manusia. Menggunakan air kumbahan sebagai baja tanaman sayur dan penyediaan makanan tidak membersihkan tangan adalah punca berlaku keracunan ini.  Tanda-tanda keracunan ini  ialah kawasan badan di sekitar hati dan usus besar menjadi lembut, cirit-birit, rasa berdebar, kehilangan berat badan dan lemah.


Terdapat pelbagai punca berlakunya keracunan makanan. Oleh itu, sebagai pengguna kita haruslah bijak dalam memilih makanan yang baik dan sihat. Sentiasa menjaga kebersihan dapur dan sekitar kawasan rumah. 

No comments:

Post a Comment